ALOR SETAR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan agar kepimpinan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) memberi fokus untuk memenangkan parti masing-masing daripada memikirkan soal 'poster boy' bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, setiap pemimpin parti perlu memberi komitmen penuh seiring dengan formula terbaik berdasarkan pengalaman dan kepakaran masing-masing untuk menawan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) termasuk negeri Kedah.

"Lupakan soal ‘poster boy’, fikirkan untuk menang dahulu seperti di Kedah dapatkan 19 kerusi dahulu.

"Apabila sudah menang, baru fikir soal poster boy… itu bukan hak kita untuk tentukan tetapi hak Sultan. Atas dasar itulah saya yakin dalam kalangan parti termasuk di Kedah ketepikan perbezaan, kena ketepikan perbalahan dan komited untuk menang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah di Alor Setar, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, kedua-dua gabungan itu perlu menggunakan titik kebersamaan dan berhenti bernostalgia demi mengukuhkan parti ketika menghadapi PRN kelak.

"Dulu lawan tetap lawan, sekarang lawan jadi kawan. Cukuplah kita terus bernostalgia dan berada di titik perbezaan, sekarang kita mahu cari titik persamaan.

"Kenapa parti Islam berkawan dengan DAP, musuh UMNO (BN)?  Itu cerita dahulu. Kalau dahulu orang UMNO boleh bersama MIC, MCA dan Gerakan. Itu hakikat parti itu bukan sahaja mewakili kaum tertentu. Seperti juga DAP ada ahli daripada orang Melayu. Kita terima sahabat kita dengan semangat ke’Malaysia’an," katanya lagi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata untuk kembali menawan pengundi, semua calon yang dipilih gabungan itu perlu bekerja keras di semua peringkat termasuk dalam kalangan ahli mahupun bukan ahli.

"Duit jangan risau. Tetapi segalanya bukan berkaitan duit. Dahulu masa Pilihan Raya Umum (PRU) UMNO ada duit tetapi ke laut juga tetapi ini berkaitan semangat bersama iaitu bagaimana kita mahu menyantuni rakyat, pengundi walaupun bukan ahli parti kita. Itu faktor kejayaan. Ini (PRN) adalah peluang terbaik kerana peluang ini tidak akan datang lagi," katanya.

Menyentuh mengenai konteks politik Kedah, Ahmad Zahid berkata negeri itu memerlukan pemimpin terutama Menteri Besar yang berpengalaman dan pakar dalam selok-belok pentadbiran negeri termasuk membangunkan negeri ini.

"Soalnya kita jangan politikkan masalah rakyat tetapi selesaikan masalah rakyat. Lakukan komitmen bukan hanya pandai buat layak jenaka dan jadi penglipur lara. Kita kena belajar dari UMNO, BN malah PKR, DAP dan Amanah. Kongsilah ilmu dan ketepikan perbezaan itu," katanya lagi.